TUJUAN / MATLAMAT

3.1      Menjadi wadah ke arah penggembelingan dan kesepakatan di kalangan pemaju hartanah bumiputera di Negeri Selangor dalam menangani masalah dan cabaran yang di hadapi bersama.      

3.2       Mewakili aspirasi dan kepentingan pemaju hartanah bumiputera di Negeri Selangor dalam segala bentuk forum, perbincangan dan rundingan dengan pihak kerajaan, mana-mana agensi kerajaan, pihak berkuasa, syarikat-syarikat kerajaan (GLCs) dan apa jua pihak lain.

3.3       Menggalakkan pengembangan, peningkatan dan kemajuan penyertaan di kalangan penduduk bumiputera Selangor dalam industri pemajuan hartanah dan sektor-sektor yang berkaitan.  

3.4     Merancang, mendukung dan menggerakkan apa-apa skim, program atau projek pemajuan tanah yang secara langsung memberi faedah kepada penduduk bumiputera Selangor.

3.5      Menjalankan, sama ada secara persendirian atau dengan kerjasama mana-mana pihak lain, kajian dan penyelidikan tentang apa-apa hal atau perkara berkaitan dengan tanah dan pemajuan hartanah terutamanya yang menyentuh kepentingan dan kedudukan penduduk bumiputera Selangor dan menerbitkan hasil kajian demikian.

3.6      Untuk menubuhkan dan menyelenggara pusat sumber dan bank data berkaitan industri pemajuan hartanah dan hal-hal lain yang relevan kepada kepentingan penduduk bumiputera Selangor.

3.7       Menjalankan, menganjur atau menaja skim, program, projek atau bengkel bagi memberi bimbingan, latihan dan nasihat kepada pemaju hartanah di Negeri Selangor serta kakitangan mereka dalam apa jua bidang yang relevan.

3.8       Menjalankan, menyertai atau berkerjasama dalam usaha atau kegiatan membangunkan dan menerapkan teknik-teknik, prosedur-prosedur, kaedah-kaedah, amalan-amalan dan norma-norma dalam industri pemajuan hartanah dan pembinaan kearah mewujudkan industri pembinaan dan pemajuan hartanah yang mapan, selamat dan effisien.  

3.9      Menganjurkan atau berkerjasama dalam menganjurkan seminar, persidangan, forum, ceramah dan seumpamanya tentang atau mengenai apa jua isu dan perkara yang relevan kepada industri pemajuan hartanah terutama yang menyentuh kedudukan dan kepentingan penduduk bumiputera Selangor.

3.10    Menubuhkan, dan mendaftarkan jika perlu atau wajar, apa-apa yayasan, amanah, tabung amanah atau seumpamanya bagi menjalankan mana-mana satu atau lebih tujuan/matlamat yang dinyatakan dalam Fasal ini serta mencari dan menguruskan dana bagi pembiayaannya.

3.11    Menggalakkan, mencetus dan mendokong usaha-usaha memajukan tanah Rezab Melayu melalui cara dan kaedah yang bukan sahaja mapan pada erti sebenarnya tetapi juga yang mengutamakan kepentingan sosial dan ekonomi orang-orang Melayu.