PERLEMBAGAAN
PERSATUAN PEMAJU HARTANAH BUMIPUTERA SELANGOR


FASAL 1 : NAMA

Pertubuhan ini dikenali dengan nama PERSATUAN PEMAJU HARTANAH BUMIPUTERA SELANGOR yang selepas ini disebut sebagai “Persatuan”.


FASAL 2 : TEMPAT URUSAN

Alamat berdaftar dan tempat urusan Persatuan ialah di No. 510 Diamond Complex, Bangi Business Park, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor atau di mana-mana tempat lain yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tertinggi dengan kebenaran Pendaftar dan alamat surat menyurat ialah di  No. 510 Diamond Complex, Bangi Business Park, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.
                       

FASAL 3 : TUJUAN/MATLAMAT

3.1       Menjadi wadah ke arah penggembelingan dan kesepakatan di kalangan pemaju hartanah bumiputera di Negeri Selangor dalam menangani masalah dan cabaran yang di hadapi bersama.         

3.2       Mewakili aspirasi dan kepentingan pemaju hartanah bumiputera di Negeri Selangor dalam segala bentuk forum, perbincangan dan rundingan dengan pihak kerajaan, mana-mana agensi kerajaan, pihak berkuasa, syarikat-syarikat kerajaan (GLCs) dan apa jua pihak lain.

3.3       Menggalakkan pengembangan, peningkatan dan kemajuan penyertaan di kalangan penduduk bumiputera Selangor dalam industri pemajuan hartanah dan sektor-sektor yang berkaitan.  

3.4       Merancang, mendukung dan menggerakkan apa-apa skim, program atau projek pemajuan tanah yang secara langsung memberi faedah kepada penduduk bumiputera Selangor.

3.5       Menjalankan, sama ada secara persendirian atau dengan kerjasama mana-mana pihak lain, kajian dan penyelidikan tentang apa-apa hal atau perkara berkaitan dengan tanah dan pemajuan hartanah terutamanya yang menyentuh kepentingan dan kedudukan penduduk bumiputera Selangor dan menerbitkan hasil kajian demikian.

3.6       Untuk menubuhkan dan menyelenggara pusat sumber dan bank data berkaitan industri pemajuan hartanah dan hal-hal lain yang relevan kepada kepentingan penduduk bumiputera Selangor.

3.7       Menjalankan, menganjur atau menaja skim, program, projek atau bengkel bagi memberi bimbingan, latihan dan nasihat kepada pemaju hartanah di Negeri Selangor serta kakitangan mereka dalam apa jua bidang yang relevan.

3.8       Menjalankan, menyertai atau berkerjasama dalam usaha atau kegiatan membangunkan dan menerapkan teknik-teknik, prosedur-prosedur, kaedah-kaedah, amalan-amalan dan norma-norma dalam industri pemajuan hartanah dan pembinaan kearah mewujudkan industri pembinaan dan pemajuan hartanah yang mapan, selamat dan effisien.  

3.9       Menganjurkan atau berkerjasama dalam menganjurkan seminar, persidangan, forum, ceramah dan seumpamanya tentang atau mengenai apa jua isu dan perkara yang relevan kepada industri pemajuan hartanah terutama yang menyentuh kedudukan dan kepentingan penduduk bumiputera Selangor.

3.10     Menubuhkan, dan mendaftarkan jika perlu atau wajar, apa-apa yayasan, amanah, tabung amanah atau seumpamanya bagi menjalankan mana-mana satu atau lebih tujuan/matlamat yang dinyatakan dalam Fasal ini serta mencari dan menguruskan dana bagi pembiayaannya.

3.11     Menggalakkan, mencetus dan mendokong usaha-usaha memajukan tanah Rezab Melayu melalui cara dan kaedah yang bukan sahaja mapan pada erti sebenarnya tetapi juga yang mengutamakan kepentingan sosial dan ekonomi orang-orang Melayu.



FASAL 4 : KEAHLIAN

4.1       Jenis Keahlian

Keahlian Persatuan adalah terdiri daripada tiga kategori yang berikut: (i) Ahli Biasa, (ii) Ahli Bersekutu dan; (iii) Ahli Kehormat.
           
(i)                  Ahli Biasa

Keahlian biasa adalah terbuka kepada semua syarikat pemaju hartanah bumiputera di Selangor yang sah berdaftar dan memenuhi syarat-syarat berikut:

           
Dia hendaklah ditubuhkan dan berdaftar samada sebagai syarikat sendirian berhad atau syarikat awam berhad di bawah Akta Syarikat 1965 ATAU koperasi di bawah Akta Koperasi 1993 ATAU perniagaan kepunyaan perseorangan (sole propriertorship) atau perkongsian (partnership) di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan  1956;

DAN

            Dia ditubuhkan dengan tujuan utama (sebagaimana yang dinyatakan dalam dokumen undang-undang tubuhnya) untuk menjalankan perusahaan pemajuan hartanah;

DAN

100% (seratus peratus) jumlah saham (ekuiti) atau kepentingan dalamnya adalah sebenarnya dimiliki oleh bumiputera.

DAN

Setiap syarikat akan diwakili oleh dua (2) orang wakil dan layak untuk dua (2) undi.


(ii)                Keahlian Bersekutu

Keahlian bersekutu adalah terbuka kepada –
           
a)      Semua pemaju hartanah di luar Selangor yang sah berdaftar mengikut mengikut Fasal 5.2 di atas dan memiliki 100% (seratus peratus) saham (equiti) atau hak keempunyaan yang dimiliki oleh Bumiputera.

b)   Semua firma atau syarikat professional dalam bidang-bidang yang relevan kepada industri pemajuan hartanah seperti akauntan, akitek, jurutera, juruukur tanah, juru rancang bandar, juru ukur bahan, peguam, jurunilai, ejen hartanah DAN memiliki 100% saham (equiti) atau hak keempunyaan yang dimiliki oleh Bumiputera.


(iii)               Keahlian Kehormat

Jawatankuasa Tertinggi boleh memberikan keahlian kehormat kepada mana-mana satu atau lebih individu ternama yang telah memberi sumbangan dan jasa yang besar kepada negara dan rakyat Malaysia khususnya rakyat di Negeri Selangor. Setiap ahli kehormat adalah dikecualikan daripada menanggung sebarang kewajipan kewangan kepada Persatuan dan bebas daripada sebarang liabiliti atau tanggungan yang dikenakan atau tertimpa pada Persatuan atau para ahlinya.


4.2       (1)        Permohonan menjadi Ahli hendaklah dikemukakan kepada Setiausaha Kehormat Persatuan melalui borang bertulis sebagimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tertinggi dan yang ditandatangani oleh pegawai pemohon yang diberikuasa untuk maksud itu dan disertakan dengan sijil pendaftaran pemohon dan dokumen-dokumen lain yang menunjukkan profil pemohon termasuk maklumat yang diperlukan oleh Persatuan bagi menentukan kelayakan pemohon untuk dimasukkan sebagai ahli sebagaimana yang dipohon.  

(2)        Setiap permohonan keahlian hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Tauliah yang ditubuhkan mengikut Fasal 9.5 (1) bagi tujuan menentukan kelayakan pemohon untuk dimasukkan sebagai ahli sebagaimana yang dipohon dan maksud itu Jawatankuasa Tauliah boleh meminta supaya pemohon memberikan apa-apa dokumen dan maklumat tambahan atau lanjut yang wajar dan bersesuaian.

(3)               Keputusan untuk meluluskan atau menolak permohonan keahlian hendalah terletak pada budibicara mutlak Jawatankuasa Tertinggi selepas menimbangkan perakuan yang diperbuat oleh Jawatankuasa Tauliah dan Jawatankuasa Tertinggi boleh menolak sebarang permohonan kemasukan tanpa memberikan apa-apa alasan.  


4.3       Hak dan Kewajipan Ahli
           
(1)               Setiap Ahli Biasa adalah berhak untuk menerima notis, hadir, bercakap dan mengundi  dalam mesyuarat agung Persatuan, dan juga berhak untuk menyertai atau menggunakan kemudahan dan perkhidmatan yang dianjurkan atau disediakan oleh Persatuan untuk faedah para ahli mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Persatuan.  

(2)        Setiap Ahli Biasa adalah berkewajipan pada setiap masa untuk memelihara nama baik dan kepentingan Persatuan, berlaku adil dan saksama terhadap para ahli Persatuan yang lain dan berkerjasama dengan Persatuan dalam semua perkara berkaitan perjalanan dan pentadbirannya.

           
FASAL 5 : BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

5.1       Bayaran masuk dan yuran tahunan
           
Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut :-

Bayaran masuk             : RM 100.00 (Ringgit Malaysia Satu Ratus Sahaja)
            Bayaran tahunan           : RM 1,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ribu Sahaja)

5.2       Tempoh bayaran yuran tahunan

Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu selewat-lewatnya pada 31 haribulan Mac tiap-tiap tahun.

5.3       Yuran tertunggak

Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua tahun akan menerima surat peringatan yang ditandangani oleh atau wakil Setiausaha, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.

5.4       Yuran tertunggak melebihi dua tahun

Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi tiga tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Persatuan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

5.5       Yuran masuk semula

Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

5.6       Yuran khas atau kuitpan wang

Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan Mesyuarat Agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran tahunan.

5.7       Bayaran lain

Persatuan boleh mengenakan apa-apa bayaran lain terhadap Ahli berkaitan dengan apa-apa perkhidmatan dan kemudahan yang dianjurkan atau disediakan oleh Persatuan. Syaratnya kadar bayaran berkenaan adalah sama bagi semua Ahli tanpa membezakan antara Ahli Biasa dengan Ahli Bersekutu.  


FASAL 6 : PENGGANTUNGAN, PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

6.1       Pemberhentian Secara Sukarela

            Mana-mana Ahli yang hendak berhenti daripada keahlian Persatuan hendaklah memberi notis bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Kehormat dan menjelaskan segala hutangnya kepada Persatuan.


6.2       Penggantungan atau Pemecatan Keahlian kerana Tatatertib

Mana-mana Ahli yang gagal mematuhi Perlembagaan Persatuan atau bertindak dengan cara yang mencemarkan atau boleh mencemarkan nama baik atau kepentingan Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa Tertinggi.  Sebelum Jawatankuasa Tertinggi memecat atau menggantung Ahli itu, dia hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis.  Ahli itu juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan berkaitan tindakannya itu. Keputusan pemecatan atau penggantungan keahlian Ahli itu hendaklah diberitahu kepadanya secara bertulis. Pemecatan atau penggantungannya   hendaklah berkuatkuasa selepas 14 (empat belas) hari ahli itu menerima notis tersebut melainkan dalam tempoh tersebut Ahli itu telah mengemukakan rayuan bertulis kepada Presiden Persatuan dan dalam hal demikian tarikh kuatkuasa pemecatan atau penggantungannya hendaklah  ditangguhkan sehingga rayuannya dipertimbangkan semula  oleh Jawatankuasa Tertinggi berdasarkan keterangan dan alasan yang diberikan dalam rayuannya itu. Keputusan Jawatankuasa Tertinggi berikutan dan berkaitan rayuan tersebut hendaklah mengikat dan muktamad. 


FASAL7 : MESYUARAT AGUNG

7.1       Mesyuarat Agung Tahunan

            Persatuan hendaklah pada setiap tahun mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya dalam masa 3 (tiga) bulan selepas berakhir tahun kewangan sebelumnya iaitu pada 31 haribulan Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tertinggi bagi menjalankan urusan yang berikut:

(a)        Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Persatuan sepanjang tahun yang lalu;

(b)        Menerima laporan Bendahari Kehormat dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;

(c)        Memilih ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan pemeriksa kira-kira untuk tahun yang akan datang; dan

(d)        Menimbangkan perkara atau perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

(selepas in disebut sebagai “urusan biasa tahunan”)

7.2       Mesyuarat Agung Luarbiasa

(1)        Persatuan boleh mengadakan Mesyuarat Agung Luarbiasa pada bila-bila masa jika difikirkan perlu oleh Jawatankuasa Tertinggi bagi menimbangkan dan menjalankan sebarang urusan selain urusan biasa tahunan.

(2)        Persatuan hendaklah mengadakan Mesyuarat Agung Luarbiasa dalam masa 30 (tiga puluh) hari selepas menerima permintaan bertulis dan bertandatangan daripada sekurang-kurangnya 1/3 (satu pertiga) jumlah bilangan Ahli Biasa bagi menimbangkan dan menjalankan urusan yang diperihalkan dalam surat permintaan berkenaan.

7.3       Notis Memanggil Mesyuarat Agung

Notis memanggil sebarang Mesyuarat Agung hendaklah berikan oleh Setiausaha Kehormat selewat-lewatnya 14 (empat belas) hari sebelum tarikh yang ditetapkan baginya. Notis berkenaan hendaklah menyatakan dengan jelas urusan atau agenda yang hendak dijalankan.

7.4       Korum bagi Mesyuarat Agung

Korum bagi setiap Mesyuarat Agung Persatuan adalah 1/3 (satu pertiga) daripada bilangan ahli yang berhak mengundi atau 2 (dua) kali ganda bilangan ahli Jawatankuasa Tertinggi (tanpa mengambil kira kekosongan), mengikut mana yang kurang.

7.5       Kehadiran dalam Mesyuarat Agung

Setiap ahli yang berupa individu perseorangan, firma perkongsian, syarikat atau koperasi hendaklah hadir dalam mesyuarat agung melalui dirinya ataupun wakilnya yang dinamakannya secara bertulis. Sebaik sahaja sebelum mesyuarat agung dimulakan, Jawatankuasa Tauliah hendaklah meneliti dan mengesahkan senarai wakil-wakil yang dinamakan oleh ahli-ahli yang sedemikian itu. Jika timbul pertikaian tentang kesahihan penamaan wakil daripada mana-mana ahli sedemikian, Jawatankuasa Tauliah hendaklah meneliti dan memeriksa perkara itu dan menentukan kedudukan sebenar dan penentuan oleh Jawatankuasa Tauliah hendaklah dikira sebagai sah dan muktamad.


7.6       Perjalanan Mesyuarat Agung

(1)        Setiap Mesyuarat Agung hendaklah dipengerusikan oleh Presiden atau Naib- Presiden jika Presiden tidak hadir. Jika kedua-duanya tidak hadir ahli-ahli yang berhak mengundi dan hadir bolehlah memilih salah seorang daripada kalangan mereka untuk mempengerusikan mesyuarat itu.

(2)        Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan bagi mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tertinggi; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan bagi mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah Ahli-Ahli yang hadir yang berhak mengundi untuk menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Persatuan atau membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua Ahli Dengan Syarat Bahawa  kuasa Ahli-Ahli untuk menjalankan mesyuarat agung yang ditangguhkan tanpa korum sebagaimana yang tersebut itu adalah tidak terpakai bagi mesyuarat agung luar biasa yang diadakan atas permintaan Ahli-Ahli dimana jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan baginya, mesyuarat itu hendaklah dibatalkan dan tiada mesyuarat agung luar biasa atas permintaan Ahli-Ahli bagi urusan atau agenda yang sama boleh diadakan dalam tempoh masa 6 (enam bulan) daripada tarikh mesyuarat yang dibatalkan itu.


7.7       Undi dan Pengundian

(1)        Dalam mesyuarat agung, hanya Ahli Biasa dan anggota Jawatankuasa Tertinggi mempunyai hak untuk mengundi. Setiap Ahli Biasa hendaklah mempunyai satu undi dan setiap anggota Jawatankuasa Tertinggi mempunyai satu undi.

(2)        Sesuatu usul yang dibentangkan dalam mesyuarat agung hendaklah diputuskan oleh undi majoriti biasa (simple majority) kecuali usul untuk undi tidak percaya terhadap mana-mana anggota Jawatankuasa  Tertinggi atau usul untuk membubarkan Persatuan.
           
(3)        Dalam sebarang mesyuarat agung melainkan pengundian secara sulit dituntut oleh tidak kurang daripada 4 (empat) Ahli yang berhak mengundi, pengundian hendaklah dijalankan secara angkat tangan. Peristiharan oleh pengerusi mesyuarat bahawa sesuatu usul itu telah diluluskan atau ditolak oleh majoriti tertentu dan catatan dalam buku rekod perjalanan mesyuarat mengenainya hendaklah menjadi bukti muktamad tentang perihal itu tanpa memerlukan bukti lanjut bagi menunjukkan bilangan undi menyokong atau menentang usul berkenaan.

(4)               Sekiranya pengundian secara sulit adalah dituntut sebagaimana yang disebutkan, ia hendaklah dijalankan dengan cara dan pada waktu dan tempat yang ditentukan oleh pengerusi mesyuarat dan sama ada serta merta atau selepas penangguhan atau sebaliknya dan keputusan pengundian secara sulit itu hendaklah dikira sebagai keputusan mesyuarat dimana pengundian secara sulit itu dituntut. Tuntutan untuk pengundian secara sulit tidak seharusnya menyekat mesyuarat daripada menjalankan urusan lain selain daripada perkara yang hendak diputuskan melalui pengundian secara sulit. Tuntutan bagi dijalankan pengundian secara sulit boleh ditarik balik pada bila-bila masa sebelum proses pengundian sedemikian berakhir. Sesuatu pengundian secara sulit yang dituntut bagi memilih pengerusi mesyuarat atau berkaitan apa-apa persoalan mengenai penangguhan mesyuarat hendaklah dijalankan di mesyuarat itu sendiri tanpa penangguhan. 


FASAL 8 : JAWATANKUASA TERTINGGI

8.1       Fungsi dan Komposisi

(1)        Pengurusan dan pentadbiran harian Persatuan hendaklah dipertanggungjawabkan pada Jawatankuasa Tertinggi yang terdiri daripada penjawat-penjawat yang tersebut dibawah ini yang dipilih dalam mesyuarat agung tahunan Persatuan sekali dalam setiap dua tahun:

i.          Seorang Presiden
ii.          Seorang Naib Presiden
iii          Seorang Setiausaha Kehormat
                        iv.         Seorang Bendahari Kehormat, dan
                        v.         Empat (4) orang Ahli Jawatankuasa biasa
           
(2)        Setiap pegawai Persatuan yang yang tersebut di atas hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia. 

8.2       Pencalonan dan Pengundian

(1)        Setiap calon bagi menganggotai Jawatankuasa Tertinggi hendaklah terdiri daripada wakil Ahli Biasa yang berhak mengundi atas cadangan terbuka seorang wakil Ahli Biasa yang berhak mengundi serta sokongan terbuka seorang wakil Ahli Biasa yang lain yang juga berhak mengundi.

(2)        Melainkan terdapat tuntutan yang sah supaya pemilihan dijalankan melalui pengundian secara sulit, pengundian hendaklah dijalankan secara terbuka melalui pengundian angkat tangan.


8.3       Kuasa-kuasa Jawatankuasa Tertinggi

            Jawatankuasa Tertinggi hendaklah mempunyai kuasa untuk menjalankan urusan-urusan pengurusan harian Persatuan dan apa-apa perkara yang difikirkan sesuai atau wajar bagi mencapai tujuan/matlamat Persatuan tertakluk kepada dasar-dasar umum yang ditetapkan oleh mesyuarat agung jika berkenaan.



8.4       Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi

(1)        Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa 4 (empat bulan) bulan.  Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada para anggota 7 hari terlebih dahulu. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 3 (tiga) orang anggota Jawatankuasa Tertinggi bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. 

(2)        Korum bagi mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi ialah setengah (1/2) daripada bilangan anggotanya.

(3)        Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa Tertinggi dan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi tidak dapat diadakan, maka Setiausaha Kehormat bolehlah mendapatkan kelulusan dari anggota-anggota Jawatankuasa Tertinggi secara surat pekeliling.  Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa Tertinggi boleh dianggap sebagai telah diterima:

(a)        Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

(b)        Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan anggota Jawatankuasa Tertinggi mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

(c)        Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha Kehormat kepada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

(4)        Anggota Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan dalam Jawatankuasa Tertinggi.

(5)        Jika timbul sesuatu kekosongan dalam keanggotaan biasa Jawatankuasa Tertinggi kerana apa jua sebab sekalipun Jawatankuasa Tertinggi boleh mengikut budibicaranya mengisi kekosongan itu dengan calon anggota biasa yang mendapat undi terbanyak selepas calon akhir terpilih  dalam pemilihan yang lalu.  Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa Tertinggi untuk melantik mana-mana wakil Ahli yang berhak mengundi mengisi kekosongan itu sehingga mesyuarat agung tahunan diadakan.


8.5       Jawatankuasa Tauliah dan Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil lain

(1)               Jawatankuasa Tertinggi hendaklah melantik suatu Jawatankuasa Tauliah yang terdiri daripada 5 (lima) anggota daripada Ahli Persatuan yang difikirkan sesuai untuk menjalankan tugas meneliti dan memperakukan kelayakan pemohon keahlian Persatuan dan kesahihan tauliah wakil-wakil Ahli di mesyuarat agung dan lain-lain tugas yang sesuai mengikut Perlembagaan ini.

(2)        Jawatankuasa Tertinggi boleh jika difikirkannya perlu melantik apa-apa Jawatankuasa Kecil lain untuk menjalankan apa jua tugas yang patut atau wajar.

8.6       Peruntukan Peralihan
           
            Jawatankuasa Penaja hendaklah, buat sementara waktu mulai pada tarikh Persatuan didaftarkan oleh Pendaftar sehingga mesyuarat agung pertama, berfungsi sebagai Jawatankuasa Tertinggi dan boleh menjalankan kuasa-kuasa yang terletak pada Jawatankuasa Tertinggi.


FASAL 9 :  KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PENJAWAT

9.1       Presiden

            Presiden, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat.  Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani minit mesyuarat yang telah disahkan.

9.2       Naib Presiden

            Naib Presiden hendaklah memangku jawatan Presiden semasa ketiadaannya dan menjalankan tugas-tugas lain yang diamanahkan oleh Jawatankuasa Tertinggi.

9.3       Setiausaha Kehormat

Setiausaha Kehormat hendaklah menjalankan tugas-tugas kesetiausahaan Persatuan termasuk  memberi notis mesyuarat, menyediakan dan menyimpan minit, menyimpan dan menyelenggara buku daftar keahlian Persatuan,  mengikut kaedah dan amalan yang diterima umum dan mengemukakan apa-apa maklumat dan dokumen yang perlu diserahkan kepada Pendaftar mengikut Akta Pertubuhan 1966.

9.4       Bendahari Kehormat

Bendahari Kehormat adalah bertanggungjawab berkenaan semua ahli kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkaitan semua transaksi dan hal ehwal  kewangan Persatuan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya.


FASAL 10  :   KEWANGAN

10.1     Tertakluk kepada peruntukan-pertuntukan berikut dalam undang-undang ini wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira.  Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

10.2     Bendahari Kehormat dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM1000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ribu) pada sesuatu masa.  Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa.  Akaun bank yang berkenaan hendaklah dibuka dan diuruskan atas nama Persatuan.

10.3     Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari akaun Persatuan hendaklah ditantatangani  oleh Bendahari Kehormat bersama-sama Presiden atau Naib-Presiden.  Semasa ketiadaan Presiden, Naib-Presiden atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa diantara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau arahan pengeluaran wang Persatuan.

10.4     Perbelanjaan yang lebih daripada RM 5000.00 (Ringgit Malaysia Lima Ribu) bagi sesuatu transaksi tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Tertinggi, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 30,000.00 (Ringgit Malaysia  Tiga Puluh Ribu) bagi sesuatu transaksi tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu.  Perbelanjaan yang kurang daripada RM 5000.00 (Ringgit Malaysia Lima Ribu) bagi sesuatu transaksi boleh diluluskan oleh Presiden bersama Bendahari Kehormat.

10.5     Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira yang dilantik di bawah Fasal 13 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan.  Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh mesyuarat agung tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah untuk makluman Ahli di tempat urusan Persatuan.

10.6     Tahun kewangan Persatuan bermula dari 1 hb Januari dan berakhir pada 31 hb Disember tiap-tiap tahun.


FASAL 11 : PEMERIKSA KIRA-KIRA

11.1     Dua orang yang bukannya anggota Jawatankuasa Tertinggi Persatuan boleh dilantik di dalam mesyuarat agung tahunan sebagai Pemeriksa Kira-Kira.  Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.

11.2     Pemeriksa kira-kira adalah dikendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk mesyuarat agung tahunan.  Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Presiden mengaudit kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa Tertinggi.


FASAL 12  :   PEMEGANG AMANAH

12.1     Tiga orang Pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam mesyuarat agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan.  Semua harta tak alih kepunyaan Persatuan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust).
           
12.2     Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan Persatuan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh mesyuarat agung Persatuan.

12.3     Seseorang Pemegang Amanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh mesyuarat agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan.  Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seseorang Pemegang Amanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pemegang Amanah yang baru yang dilantik di dalam mesyuarat agung.

12.4     Sekiranya Persatuan dengan persetujuan mesyuarat agung menubuhkan yayasan atau apa-apa entiti yang serupa dan mendaftarkannya atau pemegang amanahnya sama ada di bawah Akta Syarikat 1965 atau Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 dan memutuskan supaya semua atau mana-mana harta tak alih Persatuan yang ada dipegang oleh yayasan, entiti atau  atau pemegang amanah yang ditubuhkan dan didaftarkan itu, Pemegang Amanah yang dilantik di bawah Fasal 13.1 diatas hendaklah memindahkan harta tak alih berkenaan kepada yayasan, entiti atau pemegang amanah yang didaftarkan mengikut Fasal 13.4 ini.  


FASAL 13 : TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

13.1     Di antara berlangsungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

13.2     Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung.


FASAL 14:     PENASIHAT/PENAUNG

14.1   Jawatankuasa Tertinggi boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat dan atau Penaung bagi Persatuan ini Dengan Syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.


FASAL 15 :    LARANGAN

15.1     Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan dalam rumah Persatuan:  Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game, video game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.

15.2     Persatuan atau Ahli-Ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga menggangu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959.

15.3     Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada Ahli-Ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau Penjawat-Penjawat atau Jawatankuasa Tertinggi atau Ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkenaan.

15.4     “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2, Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Persatuan kepada mana-mana Ahlinya.


FASAL 16 : PINDAAN PERLEMBAGAAN PERSATUAN

16.1     Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan persetujuan tidak kurang daripada dua pertiga jumlah Ahli yang menghadiri mesyuarat agung dimana cadangan perubahan atau pindaan berkenaan dibentangkan.  Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada Perlembagaan ini hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.


FASAL 17 : PEMBUBARAN

17.1     Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas.

17.2     Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan.

17.3     Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendakalh disampaikan kepada Pendaftar dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.





………………………………………………                        …………………………………………
Presiden                                                                                  Setiausaha Kehormat