PERSATUAN PEMAJU HARTANAH BUMIPUTERA SELANGOR
KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN PEMAJU HARTANAH BUMIPUTERA SELANGOR (PPHBS) SEMPENA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-2 SERTA MALIS KERJASAMA STRATEGIK DI ANTARA PPHBS DENGAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
________________________________________________________________
PEMBANGUNAN HARTANAH : SEKTOR STRATEGIK UNTUK
MASA DEPAN BUMIPUTERA
Persatuan Pemaju Hartanah Bumiputera Selangor yang mempunyai ahli di kalangan syarikat-syarikat pemaju hartanah Bumiputera Muslim ingin menegaskan bahawa pembangunan hartanah merupakan industri yang sangat strategik utk meningkatkan penguasaan ekonomi di kalangan Bumiputera Muslim di negara ini. Setelah 53 tahun merdeka ternyata penglibatan bumiputera amat jauh tercicir dalam industri ini. Walaupun masyarakat Bumiputera Muslim sebagai golongan yang memiliki harta tanah yang terbesar di negara ini sejak negara ini dikenali sebagai Tanah Melayu, tetapi malangnya banyak tanah-tanah berpotensi terbiar dan tidak dibangunkan sehingga kini.
Keadaan ini adalah berpunca kerana kurangnya pendedahan kemahiran dan kemahuan di kalangan Bumiputera Muslim untuk terlibat di dalam industri ini. Bumiputera Muslim juga seolah-olah menyerahkan industri ini kepada bangsa lain dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menggerakkan industri ini. Keadaan ini bertambah buruk lagi apabila pengusaha bumiputera lebih berminat untuk menjadi kontraktor dari pemaju hartanah kerana merasakan bidang tersebut boleh meraih pendapatan dengan mudah dalam waktu yang singkat.
Hakikatnya industri hartanah sangat penting kerana di bawah industri ini wujud 140 sub-sektor industri hiliran yang berupaya mengagihkan sumber pendapatan. Sektor-sektor tersebut termasuklah pembinaan, infrastuktur, pembekalan barang binaan, perundingan professional, pengangkutan, kewangan dan perbankan, perkhidmatan, pengiklanan, peruncitan dan pelbagai lagi. Industri ini ternyata lebih berkesan dari segi mewujudkan peluang bisnes serta peluang pekerjaan tanpa menunggu dan mengharapkan projek-projek dari kerajaan.
Malah dalam Islam pembangunan hartanah tidak hanya bersifat fizikal, akan tetapi ianya merangkumi dasar-dasar pembangunan kerohanian dan cara hidup, pembangunan ekonomi, pembangunan keilmuan dan akhlak, sosio budaya serta ketamadunan sesuatu bangsa.
Justeru itu kewujudan PPHBS adalah untuk menggembeling seluruh kekuatan di kalangan ahli dan pelbagai pihak untuk melonjakkan penyertaaan Bumiputera Muslim dalam industri pembangunan hartanah. PPHBS berpendapat melalui prinsip berjemaah dan muafakat akan dapat mempercepatkan usaha untuk menebus maruah ini. Sejak lebih 1 tahun penubuhannya, PPHBS telah menjalankan perbagai usaha untuk meningkatkan pendedahan dan kemahiran kepada masyarakat Bumiputera Muslim untuk terlibat dalam industri ini. Antara usaha tersebut adalah menganjurkan persidangan hartanah, Kursus Pemajuan Hartanah Perumahan, Anugerah Hartanah Berteraskan Islam serta Pameran Hartanah Bumiputera di Kuala Lumpur dan Selangor.
PPHBS terus komited mempelbagaikan peranannya termasuklah kesediaan PPHBS bekerjasama dengan semua pihak bagi mempastikan usaha meningkatkan penglibatan Bumiputera Muslim dalam industri pembangunan hartanah.
Bagi mempastikan usaha ini dapat diperkasakan, maka satu kerjasama strategik dijalinkan dengan pihak UKM. Kerjasama ini merangkumi 5 bidang yang sangat penting. Bidang tersebut adalah :-
1. Penyelidikan berkaitan industri hartanah (Ph. D Industri)
2. Persidangan berkaitan industri hartanah peringkat Nasional dan Antarabangsa
3. Pembangunan kerjaya Graduan Siswazah dalam industri hartanah
4. Bengkel dan kursus jangka pendek program siswazah
5. Perkongsian jaringan perniagaan dalam industri hartanah dan akademik
PPHBS berharap kerjasama strategik ini akan memberi keuntungan dan faedah kepada kedua-dua belah pihak dan akhirnya akan memberi manfaat besar kepada kemajuan dan peningkatan sosio-ekonomi Bumiputera Muslim di negara ini.
Mohammad Sahar Mat Din
Presiden
Persatuan Pemaju Hartanah Bumiputera Selangor
29 September 2010 / 20 Syawal 1431H
Tel : 03-82100743 H/P : 019-2164144
Faks : 03-82100799 / 03-82100742
0 comments:
Post a Comment